Banner

Friday, 2 December 2011

KATA NAMA KHAS


1.    Kata nama khas ialah kata yang digunakan untuk merujuk sesuatu benda, manusia, binatang, tempat, judul buku, bangunan, dan sebagainya.
2.    Huruf pertama pada kata nama khas ditulis dengan menggunakan huruf besar.
3.    Contoh kata nama khas adalah seperti berikut :

Manusia
Ahmad, Salmi, Johny, Raju, dan Shanti

Binatang
Si Tompok (kucing) dan Si Belang (harimau)

Judul buku
Maafkan Aku (novel), Utusan Malaysia (akhbar), dan Dewan Siswa (majalah)

Bangunan
Menara Berkembar Petronas, Muzium Negara, dan Zoo Negara

Negeri / Tempat
Perak, Selangor, Pulau Pinang, Sarawak, dan Kedah

4.    Contoh ayat :
i)             Puan Hamidah membeli majalah Dewan Siswa untuk anaknya menambah ilmu pengetahuan.
ii)            Si Tompok sangat comel dan manja. Tuannya sering memberi ikan yang segar sebagai makanan.
iii)           Menara Berkembar Petronas merupakan bangunan berkembar tertinggi di dunia.

KESALAHAN UMUM TATABAHASA

1.    Keseluruhan kata nama khas hendaklah ditulis dengan huruf besar pada awal perkataan.

Contoh :
a)    Abang Sani dirawat di hospital besar Ipoh. ( X )
b)    Abang Sani dirawat di Hospital Besar Ipoh. ( √ )

LATIHAN
Gariskan kata nama khas yang terdapat dalam ayat di bawah ini.

1.    Ayah membawa kami sekeluarga makan angin di Pulau Redang pada cuti sekolah yang lalu.
2.    Akhbar Utusan Malaysia itu sentiasa dilanggan oleh Encik Zamarul dan keluarganya untuk mengetahui tentang berita terkini.
3.    Fazura akan mengadakan rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri.
4.    Gunung Everest ialah gunung yang paling tinggi di dunia.
5.    Negeri Pahang ialah pengeluar hasil kayu keras yang utama di Malaysia.

KATA NAMA AM


1.    Kata nama am digunakan untuk merujuk nama sesuatu benda, manusia, tempat, binatang, tumbuh-tumbuhan, dan sebagainya.
2.    Huruf pertama bagi setiap kata nama am ditulis dengan huruf kecil kecuali permulaan ayat.
3.    Contoh kata nama am adalah seperti berikut :

Benda                              : pensil, almari, meja, kerusi, dan kipas
Manusia                           : ayah, ibu, abang, guru, dan doktor
Tempat                            : dewan, padang, hospital dan rumah
Binatang                          : kucing, arnab, buaya, dan burung
Tumbuh-tumbuhan          : kelapa, cendawan, terung, dan lobak

4.    Contoh ayat :
i)             Azie telah membeli sepasang kasut untuk dihadiahkan kepada adiknya.
ii)            Hayati seorang jururawat. Dia bertugas di hospital kerajaan.
iii)           Abang memelihara dua ekor kucing di rumahnya.

KESALAHAN UMUM TATABAHASA

1.    Nama tempat yang disebut secara umum yang ditulis dengan huruf kecil.

Contohnya :
a)    Datuk dirawat di sebuah Hospital di Kedah. ( X )
b)    Datuk dirawat di sebuah hospital di Kedah. ( √ )

LATIHAN
Bulatkan kata nama am yang terdapat dalam ayat di bawah ini.

1.    Ibu telah membeli set meja makan yang baharu kerana yang lama telah rosak.
2.    Siew Ling  tidak dapat keluar dari rumah kerana hujan sangat lebat.
3.    Intan mengasah pensil yang baru dibeli oleh abangnya itu.
4.    Buaya tergolong dalam kelompok haiwan reptilia.
5.    Puan Nuraini bekerja sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan, Ipoh.

Saturday, 15 October 2011

Coretan Hati

Assalamualaikum dan selamat sejahtera....
Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Illahi kerana akhirnya saya berjaya mencipta blog sendiri. Jutaan terima kasih diucapkan kepada rakan-rakan yang sudi membantu saya membina blog ini. Semoga para pengunjung mendapat input yang berguna dari blog ini.