Banner
Tuesday, 6 December 2011
Monday, 5 December 2011
KATA ADJEKTIF
1. Kata adjektif menerangkan sifat sesuatu benda.
2. Contohnya : bersih, indah, besar, seronok dan mahal
3. Kata adjektif boleh disertai kata keterangan amat, paling, sangat, dan sebagainya yang bertugas sebagai penguat.
4. Contoh ayat ;
i) Kami seronok memancing di situ.
ii) Beg yang dijual di butik itu agak mahal harganya kerana ia diimport dari luar negara.
iii) Dia berasa amat sedih apabila saya pergi.
KESALAHAN UMUM TATABAHASA
1. Frasa adjektif perlu diikuti oleh frasa sendi apabila diperluas.
Contoh :
a) Adik gemar rancangan itu. ( X )
b) Adik gemar akan rancangan itu. ( √ )
LATIHAN
Pilih kata adjektif yang paling sesuai untuk melengkapkan ayat di bawah ini.
1. Ayah bercadang membeli sebuah rumah baharu yang lebih _____________ dan cantik.
A. sempit C. besar
B. lebar D. kecil
2. Nasi goreng yang dimasak oleh kakak terlalu _____________ kerana terlebih cili padi.
A. manis C. masam
B. masin D. pedas
3. Yusrizal seorang murid yang _____________ . Dia selalu mendapat tempat pertama dalam peperiksaan.
A. pintar C. malas
B. rajin D. aktif
4. Mak Ton sangat ______________ menganyam tikar.
A. fasih C. susah
B. mahir D. malas
5. Kenangan _______________ itu masih berlegar-legar dalam fikiran Siew Ching ketika bersendirian.
A. luput C. lewat
B. lapuk D. lampau
Saturday, 3 December 2011
Friday, 2 December 2011
KATA GANTI NAMA DIRI
1. Kata ganti nama diri ialah kata yang digunakan sebagai ganti nama manusia.
2. Kata ganti diri terdiri daripada :
a) Kata ganti diri pertama
- Kata yang digunakan untuk menggantikan diri orang yang bercakap
Contohnya : aku, saya, beta, patik, dan hamba
b) Kata ganti diri kedua
- Kata yang digunakan untuk merujuk kepada diri orang yang bercakap
dengan kita
Contohnya : anda, awak, engkau,dan kamu
c) Kata ganti diri ketiga
- Kata yang digunakan untuk merujuk kepada orang ketiga ketika bercakap
Contohnya : baginda, beliau, dia, dan mereka
3. Contoh ayat :
i) “Tolong ambilkan saya buku itu,” kata Aisyah kepada Sarah.
ii) “Bagaimanakah keadaan nenek kamu? Adakah penyakitnya beransur pulih?” tanya Sandra kepada Swee Lan.
iii) Kassim tidak dapat menghadiri latihan sukan kerana dia demam.
KESALAHAN UMUM TATABAHASA
1. Perkataan kami bererti “saya dengan dia” tidak termasuk orang yang diajak bercakap manakala perkataan kita termasuk orang yang diajak bercakap.
Contoh :
a) “Kami mesti memenangi pertandingan ini,” kata Liza kepada Hafiz. ( X )
b) “Kita mesti memenangi pertandingan ini,” kata Liza kepada Hafiz. ( √ )
LATIHAN
Isi tempat kosong dengan kata ganti nama diri yang sesuai.
1. Encik Husin merupakan Ketua Kampung Sungai Rokam. ____________ seorang yang baik hati dan rendah diri orangnya.
2. Raju tidak dapat hadir ke sekolah kerana _____________ demam.
3. “Tuan ________________ dari mana ?” tanya Hang Jebat kepada Hang Tuah.
4. Nabila, Mei Ling dan Sharma selalu bersama ke mana sahaja. ______________ bertiga berkawan sejak dari tadika.
5. “____________ berjanji tidak akan datang lewat ke sekolah lagi,” kata Yusri kepada guru disiplin sekolahnya.
KATA HUBUNG
1. Kata hubung ialah kata yang digunakan untuk menghubungkan kata dengan kata, frasa dengan frasa atau ayat dengan ayat.
2. Contohnya :
a) Emak membeli ikan dan sayur.
(penggabungan kata)
b) Ah Meng gemuk tetapi kuat berlari.
(penggabungan frasa)
c) Anita mengemas rumah sementara Azura membasuh kain.
(penggabungan ayat dengan ayat)
3. Kata hubung terbahagi kepada dua :
a) kata hubung tunggal
- dan, atau, tetapi, sambil, supaya, kerana, dan sebagainya
b) kata hubung berpasangan
- baik….mahupun
- jangankan…..pun
- sungguhpun…..tetapi
- walaupun……namun
4. Contoh ayat :
i) Barang itu murah tetapi bermutu.
ii) Berusahalah dengan tekun supaya cita-citamu tercapai.
iii) Sungguhpun dia kurus tetapi dia sihat.
iv) Walaupun sakit namun Leon masih mampu tersenyum.
KESALAHAN UMUM TATABAHASA
1. Murid sering menyalahgunakan kata hubung kerana tidak memahami cara menggunakan kata hubung tersebut.
Contoh :
a) Anak Puan Atilia itu cantik kecuali sombong. ( X )
b) Anak Puan Atilia itu cantik tetapi sombong. ( √ )
LATIHAN
Isi tempat kosong dengan kata hubung yang sesuai.
1. Ah Meng mengulangkaji buku pelajaran ______________ menulis nota ringkas pada buku nota kecilnya.
2. Azlida mengambil selimut _____________ menyelimutkan adiknya yang kesejukan itu.
3. Norliza ____________ Sandra berganding bahu menyiapkan tugasan yang diberikan oleh Puan Naimah.
4. ______________ menunggang basikal ke sekolah, Ramesh terjumpa seekor kucing yang kebasahan.
5. Huzairi tidak pasti sama ada hendak pergi bercuti ke Pulau Pangkor _________ pulang ke kampung.
KATA NAMA KHAS
1. Kata nama khas ialah kata yang digunakan untuk merujuk sesuatu benda, manusia, binatang, tempat, judul buku, bangunan, dan sebagainya.
2. Huruf pertama pada kata nama khas ditulis dengan menggunakan huruf besar.
3. Contoh kata nama khas adalah seperti berikut :
Manusia
Ahmad, Salmi, Johny, Raju, dan Shanti
Binatang
Si Tompok (kucing) dan Si Belang (harimau)
Judul buku
Maafkan Aku (novel), Utusan Malaysia (akhbar), dan Dewan Siswa (majalah)
Bangunan
Menara Berkembar Petronas, Muzium Negara, dan Zoo Negara
Negeri / Tempat
Perak, Selangor, Pulau Pinang, Sarawak, dan Kedah
4. Contoh ayat :
i) Puan Hamidah membeli majalah Dewan Siswa untuk anaknya menambah ilmu pengetahuan.
ii) Si Tompok sangat comel dan manja. Tuannya sering memberi ikan yang segar sebagai makanan.
iii) Menara Berkembar Petronas merupakan bangunan berkembar tertinggi di dunia.
KESALAHAN UMUM TATABAHASA
1. Keseluruhan kata nama khas hendaklah ditulis dengan huruf besar pada awal perkataan.
Contoh :
a) Abang Sani dirawat di hospital besar Ipoh. ( X )
b) Abang Sani dirawat di Hospital Besar Ipoh. ( √ )
LATIHAN
Gariskan kata nama khas yang terdapat dalam ayat di bawah ini.
1. Ayah membawa kami sekeluarga makan angin di Pulau Redang pada cuti sekolah yang lalu.
2. Akhbar Utusan Malaysia itu sentiasa dilanggan oleh Encik Zamarul dan keluarganya untuk mengetahui tentang berita terkini.
3. Fazura akan mengadakan rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri.
4. Gunung Everest ialah gunung yang paling tinggi di dunia.
5. Negeri Pahang ialah pengeluar hasil kayu keras yang utama di Malaysia.
KATA NAMA AM
1. Kata nama am digunakan untuk merujuk nama sesuatu benda, manusia, tempat, binatang, tumbuh-tumbuhan, dan sebagainya.
2. Huruf pertama bagi setiap kata nama am ditulis dengan huruf kecil kecuali permulaan ayat.
3. Contoh kata nama am adalah seperti berikut :
Benda : pensil, almari, meja, kerusi, dan kipas
Manusia : ayah, ibu, abang, guru, dan doktor
Tempat : dewan, padang, hospital dan rumah
Binatang : kucing, arnab, buaya, dan burung
Tumbuh-tumbuhan : kelapa, cendawan, terung, dan lobak
4. Contoh ayat :
i) Azie telah membeli sepasang kasut untuk dihadiahkan kepada adiknya.
ii) Hayati seorang jururawat. Dia bertugas di hospital kerajaan.
iii) Abang memelihara dua ekor kucing di rumahnya.
KESALAHAN UMUM TATABAHASA
1. Nama tempat yang disebut secara umum yang ditulis dengan huruf kecil.
Contohnya :
a) Datuk dirawat di sebuah Hospital di Kedah. ( X )
b) Datuk dirawat di sebuah hospital di Kedah. ( √ )
LATIHAN
Bulatkan kata nama am yang terdapat dalam ayat di bawah ini.
1. Ibu telah membeli set meja makan yang baharu kerana yang lama telah rosak.
2. Siew Ling tidak dapat keluar dari rumah kerana hujan sangat lebat.
3. Intan mengasah pensil yang baru dibeli oleh abangnya itu.
4. Buaya tergolong dalam kelompok haiwan reptilia.
5. Puan Nuraini bekerja sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan, Ipoh.
Subscribe to:
Posts (Atom)